Mengenai Kami

MENGENAI KAMI

 

JPP telah ditubuhkan pada tahun 1994 setelah Parlimen Malaysia meluluskan Akta Perkhidmatan Pembetungan 1993 (Akta 508). Tujuan asal JPP ditubuhkan adalah sebagai sebuah badan kawal selia untuk mengawal selia perkhidmatan dan sistem pembetungan sedia ada yang dikendalikan sama ada oleh pihak kerajaan atau persendirian di seluruh negara. Sehingga tahun 2023, operasi pembetungan di Semenanjung Malaysia dan Wilayah Persekutuan Labuan telah diambil alih oleh JPP kecuali pihak berkuasa tempatan (PBT) di Kelantan, Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB), Pasir Gudang, Sabah dan Sarawak.

 

Apabila Akta 508 diluluskan pada tahun 1993, semua sistem pembetungan awam yang pada asalnya berada di bawah bidang kuasa PBT telah dipindah dan diletakkan di bawah bidang kuasa Kerajaan Persekutuan untuk dikawal selia oleh JPP. Dalam masa yang sama, pihak kerajaan juga telah menandatangani satu perjanjian konsesi dengan Indah Water Konsortium Sdn. Bhd. (IWK) untuk menjalankan operasi perkhidmatan dan penyelenggaraan sistem-sistem pembetungan tersebut. Di bawah perjanjian konsesi ini, IWK bertanggungjawab membangun dan menyediakan fasiliti baharu bagi memenuhi keperluan semasa dan masa hadapan dengan mendapat pinjaman mudah dari pihak kerajaan.

 

Walau bagaimanapun, ekoran daripada kegawatan ekonomi pada tahun 1998, kerajaan persekutuan melalui Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD) pada bulan Jun 2000 telah mengambil alih saham IWK dan tanggungjawab IWK hanya terhad kepada kerja-kerja pengoperasian dan penyelenggaraan sahaja di samping memungut caj pembetungan. Pelaksanaan semua projek kapital pembetungan dan kerja-kerja baik pulih sistem pembetungan sedia ada melalui bajet Rancangan Malaysia telah dipertanggungjawabkan kepada JPP termasuk memantau perbelanjaan pembangunan dan peruntukan sektor pembetungan bagi negeri Sabah, Sarawak dan Kelantan (melalui pinjaman daripada kerajaan persekutuan).

 

Susulan itu, fungsi JPP tidak lagi terhad kepada kawal selia syarikat konsesi tetapi telah bertambah untuk bertanggungjawab secara langsung dalam keseluruhan ekosistem pembangunan sistem pembetungan negara yang merangkumi aspek perancangan, pembangunan, perolehan, pelaksanaan, penyediaan reka bentuk, pemantauan serta penilaian. Peranan JPP sebagai badan kawal selia operator-operator pembetungan negara telah berakhir pada 31 Disember 2007 apabila fungsi tersebut diambil alih sepenuhnya oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) pada 1 Januari 2008 berdasarkan Akta Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (Akta 654).

 

Pada Disember 2021, kerajaan negeri Johor telah bersetuju untuk menyerahkan perkhidmatan pembetungan awam di kawasan bandaraya Johor Bahru dan Pasir Gudang kepada IWK selaku syarikat pembetungan nasional milik kerajaan persekutuan. Sementara itu, pengambilalihan operasi sistem pembetungan di negeri Kelantan telah selesai pada Disember 2020. Berikutan pengambilalihan itu, peranan dan fungsi JPP sebagai pemilik aset dan fasiliti pembetungan bertambah selaras dengan pertambahan jumlah aset pembetungan yang diuruskan meliputi seluruh Semenanjung Malaysia. Pertambahan aset loji kumbahan di MBJB, Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG) dan negeri Kelantan adalah sebanyak 140 buah loji menjadikan keseluruhan bilangan loji yang dipantau dan diselenggara oleh JPP adalah sebanyak 705 buah loji.

 

Kementerian/Jabatan

MyGOV Portal

Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air ( PETRA )

Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS)

Institut Penyelidikan Hidraulik Kebangsaan Malaysia (NAHRIM)

Bahagian Bekalan Air ( BBA )

Badan Berkanun Persekutuan

Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN)

Syarikat

Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB)

Indah Water Konsortium (IWK)

PHP Code Snippets Powered By : XYZScripts.com