ALOR SETAR, 15 Januari 2026 – YAB Datuk Amar Haji Fadillah bin Haji Yusof, Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) hari ini telah menyempurnakan Majlis Perasmian dan Penyerahan Projek Pembinaan Loji Rawatan Kumbahan Serantau dan Rangkaian Paip Pembetungan di Kota Setar, Kedah Darul Aman (RSTP Kota Setar).
Projek RSTP Kota Setar ini dilaksanakan oleh Jabatan Perkhidmatan Pembetungan (JPP) dengan peruntukan berjumlah RM238.8 juta. Loji ini mempunyai keupayaan merawat kumbahan sehingga 100,000 Penduduk Setara (PE) dan berpotensi untuk dinaik taraf sehingga 300,000 PE pada masa hadapan sekali gus menjadikannya loji rawatan kumbahan terbesar di negeri Kedah.
Antara komponen utama pelaksanaan projek ini termasuk pembinaan loji rawatan kumbahan serantau berkapasiti 100,000 PE, pemasangan rangkaian paip pembetungan sepanjang 26 kilometer serta kerja-kerja rasionalisasi 28 loji rawatan kumbahan sedia ada dan sistem tangki septik berpusat (CST) di 16 premis kerajaan.
RSTP Kota Setar ini memberi manfaat kepada penduduk di sekitar daerah Kota Setar meliputi tujuh zon melibatkan sub tadahan Derga, Alor Malai dan Kota Setar.
Turut hadir YBhg Dato’ Mohd Rodzwan bin Mohd Baba Sakri, Timbalan Ketua Setiausaha (Air) PETRA; YBrs Haji Alias bin Mohamed, Ketua Pengarah JPP; YBrs En Narendran Maniam, Ketua Pengawai Eksekutif IWK; YBhg Dato’ Haji Abdul Gafar bin Yahya, Datuk Bandar Alor Setar; pegawai-pegawai daripada PETRA, JPP, SPAN, IWK, Jabatan Persekutuan dan Negeri Kedah; kontraktor serta wakil pemimpin masyarakat setempat.