MACHANG, 24 Januari 2026 (Sabtu)– Jabatan Perkhidmatan Pembetungan (JPP) hari ini telah menganjurkan Majlis Perasmian Kampung Angkat MADANI Tahun 2025 bertempat di Surau Kampung Kepang, Machang, Kelantan Darul Naim.
Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Timbalan Ketua Pengarah Kanan, Sektor Pengurusan Projek, Jabatan Perkhidmatan Pembetungan, YBrs. Ir. Ts. Haji Wan Abd Rahim bin Wan Abdullah.
Di bawah inisiatif Kampung Angkat MADANI Tahun 2025, Kampung Kepang, Machang telah dipilih sebagai Kampung Angkat MADANI JPP dengan peruntukan keseluruhan berjumlah RM1 juta yang disalurkan oleh Kementerian Kewangan.
Pelaksanaan projek di bawah inisiatif ini memberi tumpuan kepada usaha menaik taraf infrastruktur asas serta kemudahan awam bagi meningkatkan keselesaan dan kesejahteraan komuniti setempat.
Antara projek yang telah dilaksanakan termasuk menaik taraf Surau Kampung Kepang, menyiapkan pembinaan tandas sedia ada Masjid Mukim Pemanak, pemasangan lampu solar di jalan kampung dan kawasan tanah perkuburan, penurapan jalan ke tanah perkuburan, kerja-kerja membaik pulih pembetung (culvert) jalan yang rosak serta pembaikan sistem perparitan dan pengairan sawah padi.
Pada majlis yang sama, YBrs. Ir. Ts. Haji Wan Abd Rahim bin Wan Abdullah turut merasmikan surau baharu Kampung Kepang yang dinamakan Surau Ibrahimi sebagai simbolik penyiapan dan penyerahan keseluruhan projek yang dilaksanakan di bawah inisiatif Kampung Angkat MADANI JPP.
Kejayaan pelaksanaan Program Kampung Angkat MADANI Tahun 2025 ini mencerminkan komitmen berterusan JPP dalam menyokong serta menjayakan aspirasi Malaysia MADANI dengan memastikan manfaat pembangunan benar-benar dirasai oleh rakyat di peringkat akar umbi.
Turut hadir YBrs En Azmi bin Ariffin, Penggawa Mukim Ulu Sat Machang; YBrs En Muhammad Fauzi bin Awang, Penghulu Kg Kepang; Pengarah-Pengarah Bahagian dan pegawai JPP serta penduduk kampung.